ASPIRASI
DARI TINTA PRESIDEN
DARI TINTA PRESIDEN
KATA-KATA ALUAN DARIPADA EN NOR RIJAM BIN IBRAHIM, PRESIDEN PERSATUAN JURULATIH REKREASI MALAYSIA
اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
Salam sejahtera dan Salam Rekreasi
Alhamdulillahirabil Alamin, Wassolatu Wassalamu Ala Asyrafil Anbiyai Wal Mursalin Wa Ala Aalihi Wasohbihi Ajmaiin.
Segala Puji-pujian bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam yang telah mengizinkan kita untuk bersama-sama berhimpun di dalam dunia rekreasi yang penuh dengan cabaran dan pengalaman yang sungguh Adventurous ini.
Sepertimana yang telah kita semua sedia maklum, kegiatan rekreasi pada zaman ini telah banyak menarik minat masyarakat tidak kira umur dan golongan sama ada dari bandar atau pun dari luar bandar. Pelbagai aktiviti rekreasi telah dimudahkan cara demi untuk memberi keselesaan kepada masyarakat yang berminat untuk mencuba sesuatu aktiviti rekreasi yang baru sama ada secara individu atau berkumpulan. Manakala pusat-pusat pelancongan dan kem-kem rekreasi juga mengambil kesempatan menawarkan pakej-pakej aktiviti lasak dan rekreasi yang menarik kepada pelancong dan peserta.
Dari segi pendidikan pula, semakin banyak IPTA dan IPTS yang menawarkan pengajian peringkat Diploma sehingga ke peringkat Kedoktoran (PhD) yang berkaitan dengan sukan dan rekreasi. Subjek ‘Outdoor Recreational Pursuit’ telah diperkenalkan dan masih dijadikan sebagai silibus sehingga sekarang. Ia juga telah melahirkan penggiat rekreasi yang mempunyai gelaran ‘Doktor’ dan menjadi pakar rujuk di dalam bidang rekreasi. Tidak lupa juga dari peringkat Sekolah Menengah di mana “Orienteering” telah dijadikan sebagai salah satu silibus di dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Di sinilah peranan Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia amat penting di dalam senario rekreasi di Malaysia. Individu yang berminat di dalam bidang ini akan dilatih sehingga menjadi jurulatih yang bertauliah dan diiktiraf di dalam Malaysia dan luar negara. Kursus Asas Rekreasi Luar telah mula dijalankan pada tahun 80an sehinggalah sekarang. Bermula dari panggilan Kursus Level 1, ia telah melalui proses rebranding kepada kursus Outrec 1 iaitu gabungan dari perkataan Outdoor & Recreation. Setiap peserta perlu melalui 3 fasa kursus dan ditauliahkan setelah menghantar buku log dan laporan penuh. PJRM juga diberikan kepercayaan dari KBS untuk mengendalikan kursus ini. PJRM telah melahirkan ramai jurulatih yang bertauliah dan hebat di dalam bidang rekreasi ini. Pencapaian mereka bukan sahaja diiktiraf di dalam Malaysia malah juga dari luar negara.
Tujuan penubuhan PJRM juga adalah untuk memastikan setiap aktiviti di dalam rekreasi ini dijalankan secara selamat dengan berteraskan konsep pendidikan rekreasi luar iaitu selain daripada peserta mempelajari aktiviti tersebut, peserta juga dididik dengan kaedah mengajar. Ini adalah penting kerana antara objektif penubuhan PJRM adalah untuk melahirkan jurulatih yang mahir dari segi teori dan praktikal atau kita boleh definisikan sebagai ‘Practitioner cum Educator in educational recreation.
Akhir kata, saya berharap PJRM akan terus maju, sukses dan mengekalkan legasinya sebagai persatuan rekreasi yang ulung dan menjadi rujukan kepada jurulatih rekreasi di dalam Malaysia.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh